Table Of Content1
Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda
yang beriman kepada Tuhan mereka
dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.
- Al-Kahfi: 13
Belajar sambil mencabar
Pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang
Bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin
Berpengalaman (mencabar) DAN terpelajar.
- Prof. Ungku A. Aziz (1973)
2
KANDUNGAN
Prakata 4
Pendahuluan 5
BAHAGIAN 1: GERAKAN MAHASISWA
Tulisan tentang Gerakan Mahasiswa 7
Analisa ringkas Gerakan Mahasiswa 9
Gerakan Mahasiswa 1960-an hingga 1974 13
Gerakan Mahasiswa selepas 1974 19
AUKU 1975 23
Gerakan Mahasiswa IPTS 30
BAHAGIAN 2: GOVERNANS PEMBANGUNAN MAHASISWA
3 Langkah Transformasi Negara 31
AUKU 2009 32
Akta IPTS 1996 (Pindaan 2008) 33
Kerangka Baru Gerakan Mahasiswa 34
Governans Baru pembangunan mahasiswa 40
100 Hari Pertama di KPT 47
Hala Tuju Baru HEP 48
Penutup 49
Bibliografi 50
Penulis 52
3
PRAKATA
Sejak 1981, saya mempunyai pendirian dan pendapat sendiri yang amat saya yakini
akan kebenarannya tentang universiti, budaya ilmu, kesepaduan dan keseimbangan antara
akademik dan kokurikulum, gerakan mahasiswa dan governans pembangunan mahasiswa.
Saya bertekad untuk terus mempertahankan pendirian dan pendapat saya ini, malahan untuk
mengembangkan dan memperkayakannya.
Kerana itu, sempena genap 100 hari saya menjadi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi
pada 19 Julai 2009, saya membentangkan pemikiran saya ini dalam bentuk e-book ini untuk
dikongsi bersama oleh sesiapa sahaja yang sudi membacanya.
Buku ini adalah luahan pemikiran dan perasaan dalaman saya tentang idealisme dan
gerakan mahasiswa, apa yang saya lihat pada hari ini, iaitu di institusi pengajian tinggi awam
(IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), dan apa yang saya perlu lakukan sebagai
Timbalan Menteri di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Ia saya paparkan seadanya dan
dengan kesedaran bahawa saya mungkin juga tidak mampu melakukan segala-galanya.
Buku ini tidaklah lengkap dan tentulah tidak sunyi daripada kelemahannya. Justeru,
saya amat mengalu-alukan maklum balas tentangnya, termasuk kritik dan debat.
Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada anggota pasukan saya Nazri
Noh, Khaidir Jamal, Shamsul Qamar Abd Rani, Halimatun Sa’adah Othman, Mohd Yusuf
Mohd Saad, Ahmad Muhaimin bin Samsudin, Siti Fairuz binti Md Akhir, Nor Anis Aliza
binti Khalid, Jassilan Nur bin Ja’afar Sidek, Mohd Khairul Sham bin Jamaluddin, Khalil
Akashah Julaihi, Abu Hanipah Majid, Sahazuddin Abu Ruddin, Norhayati Muda, Norhaliza
Abd Hamid, Ridzuan Hazimin Ramli, Ishak Mat Bakar, Suhaimi Tan, Au Tong Hai, A
Shivalingam, Ahmad Othman dan Abdul Halim Ishak.
Saya juga mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada rakan-rakan yang
banyak memberikan input dalam perbincangan-perbincangan tentang hala tuju baru
pembangunan mahasiswa. Antaranya, Prof Dr. Rahim Md Sail, Mohd Khair Ngadiron,
Ahmad Redza Ahmad Khairuddin, Dr Sarjit Singh, Loka Ng Sai Kai, Dr. Lee Yoke Fee,
Khalek Awang, Saiful Amin Jalun, Muhaimad Haizuan Rozali, Mohd Suji Bilang Nordin dan
ramai lagi.
Tribut juga untuk Sdr Wan Ahmad, pelukis lukisan “Hafiz dan Merpati Putih” yang
menghiasi kulit hadapan buku ini.
Ucapan terima kasih paling istimewa tentulah saya tujukan buat sepasang mawar
wangi dalam taman nyaman kehidupan saya, iaitu isteri tercinta, Norlin Shamsul Bahri dan
anak tersayang, Nur Madihah, yang dengan penuh kefahaman memberikan segala sokongan
dan dokongan kepada saya, termasuk memahami jiwa saya yang adakalanya seakan-akan
memberontak apabila apa yang saya ingin laksanakan tak dapat dilaksanakan akibat karenah
dan birokrasi yang punah dan basi yang diluar bidang kuasa saya.
Saifuddin Abdullah
Putrajaya
21 Julai 2009
4
PENDAHULUAN
Gerakan mahasiswa adalah suatu kuasa yang mesti diberikan perhatian dan diambil
perhitungan (a force to be reckoned with). Dalam lipatan sejarah universiti, masyarakat dan
negara, sama ada dilihat secara universal atau secara perbandingan, misalnya, antara Asia
dengan benua-benua lain, atau antara dunia ketiga dengan dunia-dunia lain, atau jika di
negara ini, sama ada di peringkat sesebuah universiti atau di peringkat nasional, gerakan
mahasiswa punya sejarahnya yang tersendiri. Kadang-kadang ia diakui dan diiktiraf sebagai
sebahagian daripada sejarah universiti, masyarakat dan negaranya, manakala kadang-kadang
pula ia hanya tercatat sebagai sejarah di kalangan aktivis dan pendokongnya sahaja. Jika ia
diakui dan diiktiraf sebagai sebahagian daripada sejarah universiti, masyarakat dan
negaranya, kadang-kadang ia mendapat penafsiran yang baik, manakala kadang-kadang ia
mendapat penafsiran yang kurang baik.
Walaupun apapun pengakuan, pengiktirafan dan penafsiran yang diberikan terhadap
gerakan mahasiswa, hakikatnya ialah ia adalah satu proses yang amat dinamik dan progresif,
sama ada kepada proses pembangunan universiti, masyarakat dan negara, atau sekurang-
kurangnya kepada para aktivis dan pendokongnya. Kerana itu, ia perlu dilihat dan dirakam
dengan bijaksana. Sebagai sejarah dan penunjuk arah. Bagi gerakan dan pembangunan
mahasiswa, universiti, masyarakat dan negara.
Kemasukan mahasiswa baru IPTA bagi sesi 2009/2010 pada Jun/Julai 2009
menjanjikan sesuatu yang baru dalam gerakan mahasiswa negara. Ini kerana mereka adalah
kumpulan pertama yang memasuki IPTA selepas Akta Universiti dan Kolej Universiti
(AUKU) dipinda dengan agak sempurna pada 2009. Manakala bagi IPTS pula, tahun ini, buat
pertama kalinya, para pemimpin Student Representative Council (SRC) dari majoriti IPTS
menganjurkan IPTS Student Leaders’ Summit. Di samping itu, lancarnya proses transformasi
universiti tempatan melalui Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang diketuai
Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Seri Mohd Khaled Nordin dan, terutamanya, segarnya
gelombang 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun
Razak, menuntut diadakan pemikiran baru bagi memperkasa dan menentukan hala tuju baru
gerakan dan governans pembangunan mahasiswa negara.
Saya berpendapat bahawa langkah memperkasa gerakan mahasiswa banyak
bergantung kepada mahasiswa sendiri. Ini selaras dengan konsep dan pendekatan
penghakupayaan mahasiswa (student empowerment). Pada masa yang sama, kerajaan dan
universiti perlu memulakan pendekatan-pendekatan baru dalam governans pembangunan
mahasiswa.
Buku ini adalah catatan pengalaman dan pengamatan saya tentang gerakan dan
governans pembangunan mahasiswa sejak tahun 1981 hingga sekarang.
Partisipasi saya bermula sebagai Ahli Jawatankuasa Persatuan Mahasiswa Islam
Universiti Malaya (PMIUM), Presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya
(PBMUM), Presiden Ikatan Pengkajian Islam Pahang (IKATAN), Timbalan Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Setiausaha Agung dan
kemudiannya Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM). Di peringkat antarabangsa, saya
pernah menjadi Konsultan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Asia Pasifik (ESCAP) dan Ahli
Panel Tertinggi Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Pekerjaan
5
Untuk Belia. Kini, saya Pengerusi Akademi Belia, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Salam
dan Penasihat Alumni Debat IPT (ADI).
Di samping itu, saya pernah bertugas sebagai pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP)
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selama sembilan tahun (1985-1994). Di
sana, saya mengasaskan dan menjadi jurulatih pertama pasukan debat dan bola keranjangnya.
Saya juga antara pengasas Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) serta Debat Di-Raja
Antara Universiti dan adalah Ketua Hakim Bahasa Melayunya yang pertama.
Sebelum di KPT, selaku Timbalan Menteri di Kementerian Pembangunan Usahawan
dan Koperasi (MECD), saya diamanahkan mengetuai program-program pembangunan
keusahawan mahasiswa.
Sebahagian besar kandungan buku ini pernah disiarkan sebelum ini dalam bentuk
ucapan, kertas kerja, rencana, kolum dan bahagian buku, terutamanya buku keempat saya
(2008), Politik Baru. Ia saya susun semula dengan ditambah dengan inisiatif-inisiatif awal
saya sejak di KPT dan diterbitkan dalam bentuk e-book ini sempena genap 100 hari pertama
saya di KPT.
Matlamatnya ialah untuk berkongsi pengalaman dan perjuangan bagi memperkasa
dan menentukan hala tuju baru gerakan mahasiswa dan governans pembangunan mahasiswa
yang lebih kaya idealisme, aktivisme dan idealismenya, untuk mengembalikan atau mencipta
kegemilangan baru gerakan mahasiswa nasional dan untuk membina pemikiran dan
pelaksanaan pembangunan mahasiswa yang benar-benar bersepadu dan seimbang, yang
benar-benar membangun dan menggilap potensi mahasiswa, demi agama, bangsa dan tanah
air.
Buku ini dibahagikan kepada dua bahagian utama. Bahagian pertama: Gerakan
Mahasiswa, membuat analisa ringkas tentang gerakan mahasiswa, gerakan mahasiswa
sebelum dan selepas 1974, AUKU 1975 dan gerakan mahasiswa IPTS. Bahagian kedua:
Governans Pembangunan Mahasiswa, merakamkan langkah-langkah transformasi negara,
AUKU 2009, Akta IPTS 1996 (Pindaan 2008), kerangka baru gerakan mahasiswa, governans
baru pembangunan mahasiswa, 100 Hari Pertama di KPT dan hala tuju baru HEP.
Saya antara mereka yang sedang merapatkan hubungan mahasiswa IPTA dan IPTS.
Seharusnya, kita tidak membeza-bezakan mereka, kecuali dari segi undang-undang tubuhnya
sahaja. Kerana itu, saya menyokong inisiatif MADUM untuk melibatkan semua universiti
(iaitu IPTA dan IPTS) dalam pertandingan-pertandingan debatnya, menggerakkan liga bola
keranjang University College Basketball League (UCBL) yang melibatkan semua universiti
dan mencadangkan agar ditubuhkan sebuah organisasi mahasiswa nasional yang
menggabungkan IPTA dan IPTS.
Justeru, dalam buku ini, seboleh-bolehnya saya mengelakkan daripada menggunakan
“mahasiswa IPTA” atau “mahasiswa IPTS” dan hanya menggunakan “mahasiswa” sahaja. Di
mana-mana yang saya terpaksa menggunakan istilah yang seolah-olah membeza-bezakan
mereka, ia semata-mata kerana terpaksa dan bersifat sementara sahaja.
6
BAHAGIAN 1
GERAKAN MAHASISWA
TULISAN TENTANG GERAKAN MAHASISWA
Tidak banyak telah ditulis tentang gerakan mahasiswa. Kebanyakan buku tentang
gerakan mahasiswa tidak ditulis dalam bahasa kebangsaan dan bukannya oleh penulis
Malaysia. Antaranya ialah Donald Rogan (1966) The Campus Apocalypse: The Student
Search Today; Saymour Martin Lipset (Ed.) (1967) University Students and Politics In
Underdeveloped Countries; Lewis S. Feuar (1969) The Conflict of Generation: The
Character and Significant of Student Movements; Philip G. Altbach (Ed.) (1970) The Student
Revolution: A Global Analysis; Helen Lefkowitz Horowitz (1987) Campus Life:
Undergraduate Cultures from the end of the Eighteenth Century to the Present; dan, Mark
Edelman Boren (2001) Student Resistance: A History of the Unruly Subject.
Penulis-penulis tersebut sering dirujuk kerana membuat analisa yang bersifat agak
universal, walaupun amat jarang menyentuh perkembangan gerakan mahasiswa di negara ini.
Dalam hal ini, di samping bukunya di atas, Altbach pernah membentangkan kertas kerja
bertajuk “Student Politics in the Third World” di Bengkel Pentadbiran Universiti yang
diadakan di Universiti Malaya pada 1-2 Ogos 1983.
Di Malaysia, menurut Ungku Aziz, buku yang mencerminkan kegiatan mahasiswa di
lapangan politik tulisan Mohammed Abu Bakar (1973) Mahasiswa Menggugat, adalah
bersifat peneroka. Kata Ungku Aziz, “Oleh itu wajib ia dibaca oleh semua orang yang ada
hubungan dengan masalah pelajaran umumnya atau universiti khususnya dan pemuda-
pemudi umumnya serta mahasiswa khususnya”. Puisi Ungku Aziz yang memulakan buku ini
diambil daripada Kata Pengantarnya bagi buku tersebut.
Selepas karya Mohammed Abu Bakar, terbit buku-buku, misalnya, oleh Hassan
Karim dan Siti Nor Hamid (Ed.) (1984), With the People!: The Malaysian Student Movement
1967-74, Zainah Anwar (1987), Islamic Revivalism in Malaysia: Dakwah Among Students,
Junaidi Abu Bakar (1993), Mahasiswa, Politik dan Undang-undang dan Abdul Razaq Ahmad
(Ed.) (2005), Mahasiswa Abad 21.
Terdapat juga latihan-latihan ilmiah, misalnya, Noordin Abd. Razak (1972) tentang
Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya, Ahmad Faiz (1979) tentang Gabungan Pelajar
Melayu Semenanjung, Abdul Ghani Che Amat (1980) dan Anizah Abdullah (1994) tentang
Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia dan Baharudin Ali Masrom (1988)
tentang Mahasiswa Selepas Akta.
Di samping itu, banyak seminar tentang dunia kemahasiswaan telah dianjurkan.
Sebahagian daripada prosidingnya telah dibukukan. Antaranya ialah anjuran badan serantau
seperti Asia Pacific Student Services Association (APSSA), Proceeding of the Third Asia
Pacific Conference on Student Affairs (15-17 Jun 1992, Bali, Indonesia); anjuran Biro
Tatanegara, USM dan Jabatan Pendidikan Tinggi, Mahasiswa Pewaris Negara: Prosiding
Kongres Mahasiswa 2003 (10-12 April 2003, USM); dan anjuran KPT, Prosiding
Konvensyen Kebangsaan Majlis Perwakilan Pelajar IPTA 2009 (15-19 Mei 2009, UTHM).
7
Manakala di kampus-kampus, terdapat pelbagai majalah, surat khabar, risalah,
laporan dan sebagainya. Media cetak sering menerbitkan rencana-rencana dan media
elektronik pula menyiarkan rancangan-rancangan tentangnya. Mutakhir ini, terbit pula media
baru seperti laman web dan blog mahasiswa.
Oleh kerana gerakan mahasiswa tidak beroperasi dalam hampagas, maka rujukan
mengenainya tidak seharusnya terbatas kepada bahan-bahan yang mengkhusus atau menjurus
terhadap mahasiswa semata-mata. Kerana itu, rujukan perlu juga dibuat terhadap bahan-
bahan yang membincangkan, misalnya, gerakan belia, gerakan masyarakat sivil, generasi-
generasi “X”, “Y”, “net”, “next” dan “milenium”, partisipasi, penghakupayaan, politik baru,
governans baru dan sebagainya.
Di samping kekurangan bahan rujukan tentang gerakan mahasiswa, kita juga
kekurangan tulisan tentang universiti, khususnya pengurusan universiti kita. Dalam hal ini,
tidak salah jika kita mencontohi penghasilan tulisan di luar negara. Contohnya, Arthur W.
Chickering, (1969), Education and Identity, Jon Nixon, (2008), Towards the Virtuous
University dan Sarah J. Mann, (2008), Study, Power and the University. Contoh lain ialah
bagaimana ramai Presiden atau bekas Presiden universiti di US menulis, seperti bekas
Presiden George Washington University, Stephen Joel Trachtenberg, (2008), Big Man on
Campus, atau bekas Presiden Universiti Harvard, Derek Bok yang telah menulis tujuh buah
buku tentang pendidikan universiti.
Dalam konteks ini, antara Naib Canselor kita yang prolifik ialah Prof. Tan Sri Dr.
Dzulkifli Abd Razak yang menulis tentang “University of the Future”, Prof. Dato’ Dr. Zaini
Ujang yang menulis buku Mengangkasa Pengajian Tinggi, Prof. Tan Sri Dr. Ibrahim Abu
Shah yang menulis buku Menyingkap Pengurusan Universiti, serta Prof. Dato’ Dr. Sharifah
Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Tan Sri Dr. Nordin Kardi yang sering menulis tentang
hal ehwal universiti.
Pokoknya, adalah diharapkan agar lebih banyak buku dan bahan-bahan media lain,
termasuk media baru atau alternatif yang berasaskan IT, tentang gerakan mahasiswa di
negara ini diterbitkan, termasuk yang berasaskan latihan-latihan ilmiah, dan jika dapat,
sebahagiannya diterbitkan dalam bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa antarabangsa yang lain
agar ia bukan sahaja menambahkan bahan rujukan tempatan, tetapi juga turut menjadi
rujukan di peringkat antarabangsa. Supaya sejarahnya dapat diberikan pengakuan,
pengiktirafan dan penafsiran yang benar-benar bijaksana.
8
ANALISA RINGKAS GERAKAN MAHASISWA
Jika menggunakan istilah “pelajar Islam”, maka gerakan pelajar di Malaysia telah
bermula pada tahun 1900-an. Ia ditandai oleh beberapa orang tokoh pelajar seperti Syeikh
Tahir Jalaluddin, Syed Sheikh al-Hadi, Syed Salim al-Kalali dan Abas Mohamad yang pulang
dari menuntut di Timur Tengah dan dipengaruhi pemikiran Syed Jamaluddin al-Afghani dan
Muhamad Abduh, yang telah memulakan gerakan keilmuan umat Islam ke arah
pembangunan sosio-ekonomi, iaitu gerakan reformis-agama yang terawal.
Jika menggunakan istilah “pelajar” pula, ia ditandai oleh peranan tokoh-tokoh pelajar
Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) pada 1930-an seperti Ibrahim Yaakub dan Hasan
Manan yang telah menggerakkan kesedaran politik tanah air. Mereka kemudiannya
bekerjasama dengan tokoh-tokoh lain seperti Ishak Muhammad, bekas pelajar The Malay
College Kuala Kangsar (MCKK), dan Ahmad Boestamam untuk menubuhkan Kesatuan
Melayu Muda (KMM), iaitu parti politik Melayu yang terawal dan radikal.
Pada tahun 1948, lahir Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Antara
tokoh pengasasnya ialah Abdul Wahab Arief, Aminuddin Baki dan Siti Hasmah Mohd Ali. Ia
memperjuangkan hak di bidang pendidikan dan menjalankan usaha-usaha meningkatkan
pencapaian pelajar Melayu dalam bidang tersebut. Ia berperanan menanamkan kesedaran di
kalangan pelajar Melayu dan terlibat secara langsung dalam perjuangan menuntut dan
mengisi kemerdekaan tanah air.
Manakala, jika menggunakan istilah “mahasiswa”, tanda permulaannya tentunya
merujuk kepada peranan mahasiswa Universiti Malaya (UM) di Singapura (ditubuhkan pada
1949), dan kemudiannya UM cawangan Kuala Lumpur (dirasmikan pada 14 September
1957), iaitu universiti yang pertama di negara ini.
Pada tahun 1950-an, semasa di Singapura, sebahagian daripada mahasiswa UM
mempunyai hubungan yang rapat dengan gerakan anti-kolonial, seperti wartawan dan
kesatuan sekerja. Jadi, mahasiswa telah terlibat dalam gerakan kemerdekaan tanah air.
Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) di Kuala Lumpur ditubuhkan pada
tahun 1958. Pengerusinya ialah Gurnam Singh, manakala Setiausaha Umumnya ialah V.
Selvaratnam. Jumlah mahasiswa UM di Kuala Lumpur pada masa itu ialah lebih kurang 300
orang.
Sehingga penubuhan beberapa buah universiti yang lain, iaitu Institut (kini Universiti)
Teknologi MARA (ITM, kini UiTM) pada 1967, Universiti Sains Malaysia (USM) pada
1969, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1970 dan Universiti Pertanian (kini
Putra) Malaysia (UPM) pada 1971, dan masing-masing dengan Persatuan Mahasiswanya,
PMUM adalah satu-satunya gerakan mahasiswa yang wujud untuk lebih kurang sedekad
lamanya. Kerana itu, dengan kelebihan pengalaman dan tradisinya, maka adalah tidak
menghairankan jika PMUM dilihat mengetuai gerakan mahasiswa dalam beberapa peristiwa
dari pertengahan 1960-an hingga 1974, yang dianggap sesetengah pihak sebagai zaman
kemuncak gerakan mahasiswa di negara ini.
Di samping PMUM, antara persatuan mahasiswa yang awal ditubuhkan dan
kemudiannya menjadi persatuan yang amat dominan, dan adakalanya bersaing dengan lain,
9
bahkan jika di UM ia menyaingi PMUM, ialah Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya
(PBMUM). Ia telah ditubuhkan semasa UM di Singapura, iaitu pada tahun 1955. Ini adalah di
samping beberapa persatuan lain yang telah ditubuhkan lebih awal seperti Persatuan Ekonomi
dan Persatuan Sejarah.
PBMUM lahir akibat tiga faktor. Pertama, sebagai persatuan mahasiswa Melayu yang
mempunyai minat yang sama, iaitu di Jabatan Pengajian Melayu. Kedua, ekoran cabaran
menjawab tuduhan kepada mahasiswa yang ketika itu pernah dikatakan sebagai anak-anak
penjajah. Dan ketiga, didorong oleh pergolakan politik orang Melayu pada masa itu, seperti
penubuhan UMNO pada tahun 1946, penubuhan ASAS 50 pada Ogos 1950, penubuhan
Lembaga Bahasa Melayu (LBM) pada Oktober 1950, dan, lebih-lebih lagi, Kongres Bahasa
dan Persuratan Melayu Kedua pada 1954 yang mendesak pemerintah Inggeris menjadikan
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Pada tahun-tahun awal UM di Kuala Lumpur, kebanyakan aktiviti kemahasiswaan
terfokus kepada kehidupan di kampus, terutamanya yang berkaitan dengan kebajikan
mahasiswa. Bagaimanapun, bibit-bibit gerakan mahasiswa yang diungkapkan sebagai “tradisi
mencabar” itu telah mulai kelihatan. Ini ditandai, misalnya, dengan perjuangan PMUM
mendapatkan rawatan perubatan yang lebih baik untuk mahasiswa dan desakan Persatuan
Mahasiswa Islam UM (PMIUM) supaya kerajaan membina sebuah masjid berhampiran
dengan UM.
Beberapa protes terbuka telah berlaku sejak tahun 1961, di mana mahasiswa
menghantar telegram kepada Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman bagi mendapatkan
semula kelulusan mengadakan perarakan dalam Minggu Kebajikan yang telah dilarang oleh
polis.
Pada tahun 1963, berlaku lagi beberapa protes. Pertama, mahasiswa memprotes
apabila Naib Canselor Sir Alexander Oppenheim “campur tangan” dalam satu mesyuarat
antara freshie dan jawatankuasa orientasi. Kedua, mahasiswa mendesak Majlis Universiti
agar menerima perwakilan mereka untuk duduk dalam pentadbiran universiti. Ketiga, PMUM
membuat protes kepada kerajaan Singapura atas perletakan jawatan Naib Canselor Universiti
Singapura Dr. B.K. Sreenivasam kerana padanya ia berlaku akibat campur tangan dari luar
(kerajaan). Dan keempat, dan terpenting, PMUM mengadakan perarakan bagi menyatakan
taat setia kepada kerajaan dalam konfrontasi yang dilancarkan Indonesia ke atas Malaysia.
Ini telah diikuti kemudiannya dengan tunjuk perasaan pada tahun 1964, apabila 1,000
orang mahasiswa tampil menuntut agar dimaafkan 5 orang sahabat mereka yang hendak
dipecat universiti kerana menjalankan ragging. Protes-protes lain yang diadakan mahasiswa
ialah menentang tindakan kerajaan memperkenalkan Sijil Kelayakan dan demonstrasi
menentang lawatan Duke of Edinburgh.
Dalam masa yang sama, pada tahun 1958, telah ditubuhkan Persatuan Kebangsaan
Pelajar-pelajar Malaysia (PKPM) yang menggabungkan pelajar-pelajar pelbagai kaum. Ia
bertujuan untuk menjaga kepentingan-kepentingan pelajar dan memperbaiki kebajikan
mereka dengan tanpa mengira jantina, bangsa, agama serta kedudukan sosial dan ekonomi.
Ini diikuti dengan penubuhan Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia
(PKPIM) di Asrama Kedua UM pada tahun 1961. PKPIM menggabungkan mahasiswa dan
pelajar Islam. Tujuan asalnya ialah untuk menggabungkan semua persatuan pelajar Islam
10
Description:19 Jul 2009 Ahmad Redza Ahmad Khairuddin, Dr Sarjit Singh, Loka Ng Sai Kai, Dr. Khalek
Awang, Saiful Amin Jalun, Muhaimad Haizuan Rozali, Mohd